MOHD Farid (tiga dari kanan) ketika sidang media selepas membuat laporan kepada SPRM berkaitan dakwaan wujud kegiatan memberi wang membabitkan petugas PH kepada Orang Asli seperti tersebar di media sosial. FOTO Abdullah Yusof.
Wartawan NSTP
cnews@nstp.com.my


SATU laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis dibuat Pemuda Barisan Nasional (BN) petang hari ini berhubung penyebaran gambar wanita mengenakan baju Pakatan Harapan (PH) dilihat memberi wang kepada penduduk.

Ketua Pemuda UMNO Pahang, Mohd Farid Mohd Noor, berkata laporan itu dibuat bagi menggesa siasatan lebih lanjut dilakukan oleh agensi itu termasuk menyoal siasat individu terbabit.

Katanya, gambar yang tular di media sosial merakam seorang wanita dipercayai penyokong PH sedang memberi wang, dipercayai pengundi di Parlimen Cameron Highlands dan ia dilihat satu tindakan serius.

“Kita minta supaya SPRM menyiasat perkara ini dan ambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Laporan kepada SPRM itu dibuat di Pusat Operasi SPRM di Hotel Merlin, Cameron Highlands.

Beliau berkata, gambar yang tersebar di media sosial termasuk aplikasi WhatsApp sejak pagi hari ini mencetuskan banyak persoalan mengenai kempen bersih yang diwar-warkan PH selama ini, termasuk calon mereka di Cameron Highlands.

Beliau berkata, satu laporan polis dibuat sayap pemuda UMNO Pahang di Balai Polis Sungai Koyan.

Beberapa keping gambar tular di media sosial sejak pagi menunjukkan seorang wanita mengenakan baju PH sedang memberi wang dipercayai penduduk Orang Asli di Cameron Highlands.

Satu lagi laporan polis dibuat pemuda MIC Kebangsaan di Balai Polis Tanah Rata berhubung dakwaan sama.

Ketua Pemuda MIC, R Thinalan, menggesa polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat siapakah wanita berkenaan dan di manakah kejadian itu berlaku.

“Saya tidak pasti adakah pemberian wang itu untuk tujuan beli makanan atau sebagai wang rasuah kepada warga Cameron Highlands.

“Saya anggap ia berlaku di Cameron Highlands kerana wanita itu memakai baju T tulisan PH dan ada calon PH dari DAP M Manogaran. Jika benar-benar terbukti, SPR perlu segera membatalkan pencalonan beliau,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Wakil Rakyat BN Parlimen Cameron Highlands, hari ini.

  • Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 7:50 PM