Lelaki yang maut ditikam semalam. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Shamsul Munir Safini

shamsulmunir@hmetro.com..my

EMPAT lelaki dan seorang wanita warga Myanmar ditahan bagi membantu siasatan kejadian bunuh ejen pembekal pekerja asing yang maut ditikam dengan 14 tikaman di Flat Taman Pulasan, Bukit Minyak, Bukit Mertajam, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, semua suspek warga asing berusia 27 hingga 40 tahun itu ditahan jam 8 malam tadi di beberapa lokasi termasuk di tempat kerja mereka.

Beliau berkata, semua suspek adalah rakan serumah mangsa dan polis menahan mereka bagi membantu siasatan.

Katanya, semua suspek direman 14 hari bagi membantu siasatan malah ada sebahagian daripada mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Dalam kejadian semalam, R Manogaran, 55, maut dengan kesan 14 tikaman dengan pisau masih tercacak di perutnya.

Mayat mangsa ditemui rakannya di dalam bilik utama tempat dia dibunuh.

Nik Ros Azhan berkata, mangsa tidak berkahwin dan tinggal bersama dengan 10 pekerja Myanmar di tingkat bawah rumah flat itu.

Beliau berkata, motif kejadian masih disiasat namun polis percaya ia mempunyai kaitan dengan masalah bayaran gaji serta kebajikan pekerja asing terbabit.

Berita berkaitan

Pisau masih tercacak di perut.... [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 5:31 PM