Mangsa maut di lokasi kejadian akibat digilis lori. FOTO Tular
Nurul Hidayah Bahaudin
cnews@nstp.com.my

“SAYA hanya mampu jerit apabila melihat anak terbaring kaku di jalan,” kata Salmee Mohamed Yusof, 40, ibu kepada pelajar tingkatan dua yang maut selepas digilis lori dalam kemalangan berhampiran Masjid Sungai Ramal Luar, Kajang, semalam.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa, Muhammad Hadi Zafran Rahisan, 14, maut di lokasi kejadian akibat digilis lori yang membawa muatan beras.

Menurut Salmee, sebelum kejadian, anak lelakinya itu ada memaklumkan dia ada latihan sepak takraw di sekolahnya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Ramal Luar kira-kira satu kilometer dari rumahnya.

Katanya, anaknya bersama beberapa rakan bergerak ke sekolah jam 7 pagi dengan menaiki basikal.

“Anak beritahu dia akan balik segera selepas latihan ko-kurikulum di sekolah jam 10 pagi, namun hingga jam 11 pagi dia masih belum pulang menyebabkan saya rasa tidak sedap hati.

“Ternyata telahan saya tepat apabila rakannya datang ke rumah memaklumkan anak dilanggar sebuah lori berhampiran sekolah.

“Saya terus bergegas ke lokasi dan melihatnya terbaring kaku di jalan.

“Saya menggerakkan badannya namun tiada tindak balas. Ada kesan kotoran tayar pada pakaiannya di bahagian perut.

“Ketika itu, saya sedar dia sudah tiada,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Salmee berkata, anak kedua daripada lima adik beradik itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Desa Putra, Kajang, petang semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah dari sekolah berkenaan.

“Sebaik tiba di depan Masjid Sungai Ramal Luar, basikal dipandu mangsa bergesel dengan lori membawa muatan beras dipandu lelaki berusia 38 tahun yang datang dari arah belakang.

“Akibat geselan itu mangsa terjatuh sebelum digilis lori itu menyebabkannya mengalami kecederaan dalaman dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat dihantar ke Hospital Kajang untuk dibedah siasat,” katanya.

Ahmad Dzaffir berkata, pemandu lori itu melarikan diri ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang kerana bimbang dipukul penduduk sebelum membuat laporan polis.

“Pemandu itu kini ditahan dan ujian saringan air kencing mendapatinya negatif dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 4:30 PM