RAKAMAN menunjukkan pegawai ILP Kota Bharu menendang motosikal yang diparkir. FOTO ihsan pembaca
Nor Fazlima Abdul Rahim dan Fakhrul Abid Mohamed Saifuddin
cnews@nstp.com.my


PEGAWAI Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Bharu yang menendang motosikal pelajar ditahan untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis, malam tadi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, lelaki berkenaan ditahan selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada jam 7 malam.

“Lelaki terbabit yang berusia 40-an kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis malam tadi, selepas selesai diambil keterangan selama dua jam.

“Sebaik menerima laporan polis daripada seorang mangsa, kita terus membuka siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu, Pengarah ILP Kota Bharu, Zainudin Ahmad memaklumkan pegawai berkenaan diarah bercuti selama seminggu bermula hari ini.

Katanya, keputusan itu dibuat supaya siasatan dalaman boleh dijalankan memandangkan kesalahan itu tidak boleh dituju seratus peratus terhadap pegawai terbabit.

Rakaman berdurasi seminit 28 saat yang menunjukkan pegawai institut kemahiran itu menendang tiga motosikal yang diparkir di kawasan itu sehingga jatuh, tular di media sosial sejak petang semalam.

Lelaki terbabit dikatakan berbuat demikian ketika sesi pendaftaran pelajar lama selepas tidak berpuas hati dengan tindakan mereka meletakkan motosikal di kawasan itu. Perbuatan itu dirakam oleh seorang pelajar yang kebetulan berada di lokasi kejadian.

Berita berkaitan

Pegawai ILP tendang motosikal diarah cuti

Tendang motosikal: ILP mohon maaf [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 3:38 PM