PETIKAN daripada video yang tular.
Mohd Zulkifli Zainuddin
mohd.zulkifli@nstp.com.my


PEGAWAI Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Bharu diarah bercuti selama seminggu bermula hari ini berikutan tindakannya menendang motosikal yang diparkir di dalam kawasan itu tular di media sosial, semalam.

Pengarah ILP Kota Bharu, Zainudin Ahmad berkata, keputusan itu dibuat supaya siasatan dalaman boleh dijalankan memandangkan kesalahan itu tidak boleh dituju seratus peratus terhadap pegawai terbabit.

Katanya, beliau sudah berjumpa dengan pegawai berkenaan, pagi tadi dan turut menasihatkannya supaya menjalani pemeriksaan di hospital.

“Kita tidak boleh seratus peratus salahkan dia dan disebabkan itu kita mahu siasatan secara terperinci dilakukan bagi menyelesaikan masalah ini segera. Bagi sesiapa yang mengenali pegawai berkenaan sudah pasti tahu dia seorang kakitangan yang baik dan mungkin sesuatu berlaku menyebabkan kejadian itu terjadi.

“Pelajar sememangnya sudah tahu bahawa tempat itu tidak boleh diparkir dan kita sudah menyediakan kawasan lain untuk mereka meletakkan motosikal. Mereka sudah sedia maklum, bagaimanapun siasatan lanjut perlu dilakukan.

“Kejadian ini adalah pertama kali dalam sejarah institusi di bawah Jabatan Tenaga Manusia (JTM), namun ia tidak boleh dipandang ringan kerana membabitkan imej Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara,” katanya ketika ditemui dalam sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Video berdurasi seminit 28 saat yang menunjukkan pegawai institut kemahiran itu menendang tiga motosikal yang diparkir di kawasan itu sehingga jatuh, tular di media sosial sejak petang semalam.

Lelaki terbabit dikatakan berbuat demikian ketika sesi pendaftaran pelajar lama selepas tidak berpuas hati dengan tindakan mereka meletakkan motosikal di kawasan itu.

Perbuatan itu dirakam oleh pelajar yang kebetulan berada di lokasi kejadian.

Mengulas lanjut, Zainudin berkata, pihaknya memberi jaminan akan membayar ganti rugi kepada pelajar yang mengalami kerosakan motosikal akibat insiden itu.

Katanya, pegawai yang mula lapor diri pada 2012 itu akan dipanggil bertemu Ketua Pengarah JTM, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar yang akan berkunjung ke ILP Kota Bharu, esok.

“Saya berharap semua pihak berhenti tular video berkenaan memandangkan kita mahu kes ini diselesaikan secara aman. Diharap juga ia tidak akan mengurangkan keyakinan masyarakat kepada ILP untuk meneruskan kecemerlangan sebagai sebuah institusi bertanggungjawab melahirkan tenaga kerja berkemahiran untuk negara.

Berita berkaitan:

  • Tendang motosikal: ILP mohon maaf [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 2:20 PM