Antara tong drum yang dirampas penguat kuasa. FOTO Ihsan KDPNHEP
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@nstp.com.my


PEMILIK sebuah stesen minyak di Bahau, Jempol, ditahan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan kerana disyaki menjual diesel kepada individu tidak dibenarkan, semalam.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP negeri, Zubir Hamsa berkata, pihaknya turut menahan dua lelaki berusia antara 40 hingga 50 tahun yang bertindak sebagai pembeli sebelum merampas 450 liter diesel bernilai RM107,575.

Katanya, tujuh anggota penguat kuasa menjalankan serbuan selepas melakukan risikan selama dua minggu.

“Ketika serbuan, dua suspek dilihat mengisi diesel ke dalam tong drum yang diletakkan dalam dua kenderaan pacuan empat roda.

“Kita menahan kedua-dua suspek terbabit selain merampas diesel dan menyita kenderaan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Zubir berkata, pihaknya turut menahan pemilik premis dan menyita rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun bagi kesalahan pertama manakala denda sehingga RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun bagi kesalahan berikutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 1:38 PM