Mohd Fahmi Mohd Yusof
mohdfahmi@nstp.com.my


PENJAWAT awam mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas empat pertuduhan bersubahat dengan pemilik sebuah syarikat berhubung tuntutan palsu, empat tahun lalu.

Mohd Fatyhah Putera Hamzah, 38, mengaku bersalah selepas semua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Bagi empat pertuduhan itu, Mohd Fatyhah dituduh sebagai ejen kerajaan iaitu Pembantu Antidadah (Gred S22) bersubahat dengan Noor Azam Khalid iaitu pemilik AK Maju Resources yang memberikan invois tuntutan empat program berlainan berjumlah RM8,000, sedangkan semua program berkenaan tidak dilaksanakan.

Semua kesalahan didakwa hasil persubahatan yang dilakukan di pejabat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Cawangan Segamat pada 11, 15 dan 27 Februari serta 10 Mac, 2015.

Mohd Fatyhah didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 28(1)(C) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009, dibaca bersama Seksyen 18 dan Seksyen 24(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda RM55,000 terhadap tertuduh.

Dalam prosiding berasingan, Noor Azam mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan mengemukakan invois tuntutan palsu.

Bagi empat pertuduhan ke atasnya, Noor Azam dituduh memberikan invois tuntutan empat program berlainan berjumlah RM8,000 kepada Ketua Antidadah AADK Cawangan Segamat, Naharuddin Nawawi sedangkan program itu tidak dilaksanakan.

Semua kesalahan didakwa dilakukan di pejabat AADK Cawangan Segamat pada 11, 15 dan 27 Februari serta 10 Mac, 2015.

Noor Azam dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi.

Mahkamah menetapkan wang jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan 13 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan terhadap kedua-dua tertuduh dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Nor Syarina Raizan.

Noor Azam diwakili peguam, Rosli Kamaruddin manakala Mohd Fatyhah tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 1:22 PM