TONG gas yang dirampas selepas cubaan lelaki menyeludup keluar 25 tong gas LPG digagalkan Pasukan Polis Marin (PPM). FOTO ihsan PPM
Abdul Rahemang Taiming

PASUKAN Polis Marin (PPM) mematahkan cubaan seorang lelaki menyeludup keluar 25 tong gas cecair petroleum (LPG) di kawasan perairan Sum- Sum dekat Semporna, semalam.

Lelaki tempatan berusia 25 tahun itu yang menggunakan bot pam dikesan dalam keadaan mencurigakan di kawasan perairan berkenaan, pada 12.50 tengah hari.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, pemeriksaan mendapati bot itu membawa 25 tong gas LPG disyaki cuba diseludup ke Filipina.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek gagal menunjukkan sebarang dokumen sah atau surat kebenaran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membawa keluar barangan kawalan.

"Suspek ditahan dan rampasan dibawa ke pangkalan PPM Semporna untuk tindakan lanjut.

"Nilai rampasan dianggarkan RM15,550 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 9:47 AM