KERETA peronda polis terbakar selepas terbabit dalam kemalangan dengan motosikal dan lori. FOTO ihsan Polis
Zuliaty Zulkiffli

KERETA peronda polis (MPV) terbakar selepas terbabit dalam kemalangan dengan motosikal dan lori di Jalan Titi Akar, Kubur Panjang, semalam.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, dalam kejadian 3.30 petang itu, penunggang motosikal terbabit yang juga anggota tentera berpangkat koperal, 23, cedera di kaki dan dihantar ke Hospital Kuala Nerang untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun katanya, dua anggota polis berusia 50 dan 30 tahun dari Balai Polis Kubur Panjang dan pemandu lori berusia 48 tahun tidak mengalami kecederaan.

"Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku ketika dua anggota polis MPV terbabit sedang membuat rondaan di kawasan Kubur Panjang.

"Sebaik tiba di selekoh di kawasan kejadian, tiba-tiba motosikal dipercayai terjatuh dan terbabas sebelum menggelongsor masuk ke laluan kereta MPV polis terbabit menyebabkan kenderaan itu tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal itu.

"Pada masa sama, datang sebuah lori dari arah belakang dan tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang kenderaan MPV berkenaan.

"Akibat perlanggaran itu, kereta MPV terbabit terbabas ke bahu kiri jalan dan terbakar di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arriz Sham berkata, hasil siasatan awal, kebakaran dipercayai berpunca daripada minyak petrol yg dibawa oleh penunggang motosikal dalam botol minuman 1.5 liter yang tertumpah ke atas bonet hadapan MPV berkenaan sehingga menyebabkan kebakaran berlaku.

"Bagi melengkapkan siasatan, kenderaan MPV itu akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 8:44 AM