JABATAN Kastam Diraja Malaysia mendapati cubaan menghantar buaya berukuran 30 sentimeter menerusi kurier. FOTO Ihsan Sarawak Forestry Corporation
Goh Pei Pei
peipei@nstp.com.my


PIHAK berkuasa cuba dikelirukan oleh penyeludup haiwan eksotik apabila mengisytiharkan dua kotak yang dihantarnya ke Semenanjung menerusi syarikat kurier, mengandungi ikan.

Cubaan itu bagaimanapun gagal apabila pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia mengesan `ada benda hidup’ di dalam bungkusan berkenaan ketika melalui proses pemeriksaan di Lapangan Terbang Sibu, semalam.

Jurucakap Sarawak Forestry Corporation (SFC) dalam kenyataan hari ini berkata, beberapa hari lalu syarikat kurier terbabit menerima dua kotak polisterina berwarna putih yang di luarnya tertera tulisan `mengandungi ikan’.

Syarikat kurier terbabit kemudiannya meneruskan prosedur penghantaran dan menyerahkan kotak terbabit kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk kelulusan penghantaran melalui Lapangan Terbang Sibu.

Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut JKDM mendapati lima anak buaya berukuran kurang 30 sentimeter di dalam kotak berkenaan.

“Penemuan itu kemudiannya dimaklumkan kepada pejabat SFC di Sibu dan pihak kami cuba menghubungi pengirim berdasarkan butiran yang dinyatakan di dalam borang, namun nombor telefon pengirim itu tidak dapat dihubungi,” katanya.

Sehubungan itu katanya, laporan polis dibuat untuk tindakan selanjutnya kerana jelas tindakan itu adalah cubaan untuk menyeludup haiwan eksotik.

Buaya dilindungi mengikut Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 di Sarawak dan denda maksimum RM10,000 serta penjara setahun akan dikenakan jika sabit kesalahan memburu, membunuh, memelihara, menjual atau memakan haiwan yang dilindungi.

Bagaimanapun, buaya di Sarawak kini dikategorikan mengikut Apendiks II Konvensyen Mengenai Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam di Fauna dan Flora Liar (CITES) yang membolehkan penangkapan buaya liar untuk perdagangan.

Namun lesen atau permit mesti diperolehi daripada pihak berkuasa yang berkenaan sebelum sebarang aktiviti penangkapan atau perdagangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 8:10 PM