Nur Najwa dirayu pulang ke rumah. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek
cnews@nstp.com.my


REMAJA perempuan berusia 15 tahun dilaporkan hilang selepas tidak pulang dari sekolah sejak Rabu lalu.

Nur Najwa Anuar dihantar ibunya dari rumah mereka di Pedah Jaya, Jerantut ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Saujana tidak jauh dari rumahnya.

Bapanya, Anuar Ludin berkata, anak bongsunya itu tidak pulang ke rumah selepas itu dan dipercayai melarikan diri berikutan berlaku perselisihan faham antara mereka.

Katanya, perselisihan faham itu berlaku kerana mereka sering menegurnya kerana keluar malam malah isterinya pernah mengambil telefon bimbitnya.

“Dia dipercayai mengikuti rakannya dan kami juga menerima maklumat dia menaiki bas ke Temerloh pada hari dilaporkan hilang,” katanya ditemui hari ini.

Anuar berkata, anaknya itu ada menjawab panggilan telefon namun tidak memberitahu lokasinya ketika ini.

“Dia cuma beritahu tidak mahu bersekolah lagi dan ingin mencari kerja.

“Kami bimbang dengan keadaannya dan memintanya kembali ke rumah,” katanya yang sudah membuat laporan di Balai Polis Jerantut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 4:44 PM