Antara mangsa yang kerugian selepas diperdayakan seorang wanita. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris
cnews@nstp.com.my


TERGODA dengan pulangan pelaburan berlipat kali ganda, lebih 50 penduduk kampung kerugian sehingga ratusan ribu ringgit selepas menyertai skim pelaburan hartanah tiga tahun lalu.

Janji manis itu ditabur wanita berusia 33 tahun dari Kampung Pasir Pekan Hilir, Tumpat yang menjadikan penduduk kampungnya sebagai mangsa.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Din, 39, berkata, wanita yang juga jirannya itu menawarkan skim pelaburan kepada sebahagian besar penduduk kampung kononnya ingin berkongsi kehidupan selesa dan mewah.

“Wanita itu mendakwa bagi individu yang melabur RM5,000 akan memperoleh RM40,000 dalam tempoh 45 hari sehingga tiga bulan.

“Semakin banyak melabur semakin besar pulangannya diperoleh.

“Saya berminat untuk menyertainya sehingga sanggup membuat pinjaman bank RM150,000 dan menyerahkan wang secara berkala bermula Oktober 2016 hingga Januari 2017 kepada wanita itu,” katanya hari ini.

Menurutnya, selepas tiga bulan dia bertanya mengenai pulangan itu namun pelbagai alasan diberikan wanita itu selain ahli keluarganya sering memberi alasan dia tiada di rumah.

“Sebaik mengetahui penduduk lain turut berdepan masalah sama, saya mula curiga dan merasa tertipu.

“Adik saya juga menjadi mangsa namun bernasib baik kerana memperoleh semula separuh dari wang yang diserahkan apabila dia menghalang kereta wanita berkenaan sebelum meminta wangnya dikembalikan,” katanya.

Terdahulu, lima mangsa penipuan membabitkan kerugian mencecah RM400,000 tampil membuat laporan di Balai Polis Wakaf Bharu hari ini.

Difahamkan, mangsa lain sudah membuat laporan polis pada hari berlainan.

Mangsa lain, Zura (bukan nama sebenar) berkata, dia sanggup menyerahkan RM52,000 kepada wanita itu hasil wang simpanan selain menggadaikan barang kemas.

“Saya jadi gelap mata apabila diberitahu mengenai pulangan berkali ganda yang bakal diperoleh apatah lagi hampir semua penduduk kampung menyertainya.

“Namun lama kelamaan saya mula meraguinya apabila wanita itu seolah-olah mengelak daripada bertemu penduduk,” katanya sambil memberitahu terpaksa meminjam wang daripada saudara untuk melahirkan anak bongsunya dua tahun lalu kerana ketiadaan wang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat Superintendan Ab Rashid Mat Daud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kes terbabit.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 4:00 PM