PENGURUS restoran, Mohamed Shafiein Mohamed Malik, 22, (kiri) melihat pekerjanya, Raja Mohamed Abdulla (kanan) menebar roti canai ketika tinjauan di Restoran Maulana Nasi Kandar di Sg Udang. FOTO Rasul Azli Samad
Nurul Fhatihah Zakinan
fhatihah@nstp.com.my


PENGURUS restoran mamak di Plaza Sungai Udang, Melaka, menafikan menjalankan perniagaan dengan bersembunyi di sebalik ayat al-Quran yang digantung pada dinding premis itu.

Sebaliknya, Mohamed Shafiein Mohamed Malik, 22, berkata, Restoran Maulana Nasi Kandar itu mematuhi operasi prosedur standard (SOP) Jabatan Kesihatan negeri seperti pekerja, kebersihan dan pengendalian makanan.

Katanya, restoran itu mempunyai seramai 10 pekerja masing-masing enam beragama Islam dan empat bukan Islam, termasuk seorang wanita.

Mereka turut menerima suntikan dan menjalani kursus pengendalian makanan yang ditetapkan.

“Perkara sebenar restoran ini adalah perniagaan keluarga orang Islam dan dijalankan oleh orang Islam atas nama ibu saya, Tavinisah K Maidin dan dibantu pakcik saya, Jagubar Ali Abdul Hameed.

“Restoran ini pula sudah diusahakan sejak 20 tahun lalu dan kini mempunyai cawangan di Bandar Baru Sungai Udang dan Bukit Rambai,” katanya ketika ditemui di restorannya, hari ini.

Mohamed Shafiein berkata, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Jabatan Kesihatan sudah melakukan pemeriksaan ke atas restoran itu, semalam dan berpuas hati dengan cara premis diuruskan.

“Selepas insiden itu tular, ia memberi kesan kepada perniagaan restoran ini sehingga merosot sedikit.

“Ada pelanggan turut bertanya saya bagi mengenal pasti hal sebenar, apa yang saya boleh katakan itu tidak benar,” katanya.

Beliau berkata, reputasi restoran berkenaan terjejas selepas tular sejak Khamis lalu, berikutan dakwaan pengguna Facebook yang memuat naik gambar premis itu yang dikatakan bukan Muslim dan bersembunyi di sebalik ayat al-Quran.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Rahimin Bani berkata, semua premis restoran mamak di negeri ini tidak mempunyai pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah.

“Bagaimanapun, bukan bermakna tiada sijil itu maka makanan itu haram, cuma tidak ada SPHM yang sah. Jika ada logo yang ditulis perkataan halal, maka ia boleh mengelirukan orang ramai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 3:42 PM