Raja Kadir dan Tuan Nab menguruskan anak ketujuh mereka sejak 13 tahun lalu. FOTO Syamsi Suhaimi
Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my


“KEHIDUPANNYA berubah seperti bayi selepas terbabit kemalangan,” kata Raja Kadir Raja Talib, 70, bapa kepada Tuan Rusmadi, 33, yang terlantar akibat pendarahan di otak sejak 13 tahun lalu.

Dalam kejadian pada 2006 itu, motosikal yang ditunggang Rusmadi bertembung dengan kereta berhampiran rumahnya di Kampung Mujur, Jelawat, Bachok.

Akibat kemalangan itu, mangsa koma tiga bulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Raja Kadir berkata, sejak itu kehidupan anak ketujuh daripada 10 beradik itu berubah apabila hanya mampu terlantar di katil.

Katanya, segala keperluan anaknya perlu dijaga rapi seperti bayi termasuk hanya mampu minum susu khas, memakai lampin pakai buang dan dimandikan.

“Sejak kemalangan itu, kehidupannya berubah 100 peratus. Kami juga perlu sentiasa bersamanya untuk memastikan segala keperluannya terjaga rapi.

“Jika batuk, kami terpaksa menggunakan mesin penyedut kahak yang dipasang di lehernya untuk mengelakkannya sesak nafas.

“Apapun saya dan isteri, Tuan Nab Raja Ahmad, 62, tidak pernah mengeluh dan menganggapnya ujian Allah SWT kepada kami sekeluarga,” katanya ditemui di rumahnya hari ini.

Menurutnya, dia kini mengharapkan bantuan daripada pihak berkaitan serta orang ramai untuk meringankan beban perbelanjaan anaknya yang mencecah RM1,000 sebulan termasuk susu khas, lampin pakai buang serta ubat.

“Jumlah itu tidak termasuk bayaran perkhidmatan ambulans membawa Rusmadi mendapatkan rawatan susulan di hospital.

“Saya sudah tidak bekerja dan menggunakan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM350 sebulan yang diperoleh Rusmadi untuk keperluan perubatannya.

“Pada masa sama, saya juga menyara seorang lagi anak yang sedang belajar di universiti,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 03100-29-86360093-0 atas nama Raja Kadir Raja Talib.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 3:17 PM