Kayu bakau yang dirampas PPM daripada dua beranak di Tawau. FOTO Ihsan PPM
Abdul Rahemang Taiming
cnews@nstp.com.my


PASUKAN Polis Marin (PPM) berjaya menggagalkan kegiatan mengambil kayu bakau dari kawasan hutan simpan tanpa permit selepas menahan dua beranak di Sungai Meratoi, Tawau kelmarin.

Lelaki warga tempatan iaitu bapa dan anak masing-masing berusia 21 dan 51 tahun itu ditahan anggota PPM yang membuat rondaan Op Gelora di kawasan itu jam 7.30 malam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, hasil pemeriksaan menemui 18 batang kayu bakau bersama sebilah kapak dalam perahu yang digunakan untuk menebang pokok bakau secara haram.

“Kayu bakau itu dipercayai dicuri dari hutan simpan berdekatan dan nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dan enjin sangkut dianggarkan RM13,970,” katanya hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, suspek ditahan bersama barang rampasan dan dibawa ke markas operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (1)(g) Enakmen Perhutanan Negeri Sabah 1963 kerana memiliki dalam simpanan barangan hutan tanpa permit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 3:08 PM