Pihak berkuasa bekerjasama memadamkan kebakaran yang masuk hari kedua hari ini. FOTO Ihsan Bomba
Hasbi Sidek
cnews@nstp.com.my


USAHA memadamkan kebakaran di tapak pembuangan sampah haram di kawasan hutan, berdekatan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) berhampiran Bangi dekat Hulu Langat sudah masuk hari kedua.

Difahamkan, pelbagai agensi terbabit dalam operasi memadam kebakaran tapak pembuangan sampah haram seluas 8,093 meter persegi itu yang kini menghadapi kesukaran apabila tiada sumber air berdekatan lokasi kejadian.

Lori tangki air Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) terpaksa berulang alik ke pili bomba kilang berdekatan untuk mengisi air.

Jurucakap Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBN) berkata, pihaknya membuat pemantauan tempat kejadian dari darat dan udara sebelum mendapati berlakunya kebakaran di lokasi petang semalam.

“Dianggarkan tapak sampah pembuangan haram berkeluasan 8,093 meter persegi dan ketinggian sampah dianggarkan mencecah 2.7 meter.

“Kaedah pemadaman dilakukan secara langsung oleh JPBM dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Bangi dengan bantuan JBPM Negeri Sembilan dan Melaka.

“Sebuah jengkaut excavator digunakan untuk memadam kebakaran menggunakan kaedah korek dan kambus. “Ketiadaan punca air di lokasi menyebabkan lori tangki JBPM dan MPKj terpaksa berulang-alik ke pili air berdekatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, sebuah lagi jentera (back hoe) dengan bantuan dua lori membuat timbunan tanah untuk menimbus sampah yang terbakar.

Menurutnya, petugas JBPM, UPBN, MPKj dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) masih lagi berada di lokasi hari ini dengan aset masing-masing untuk memadam kebakaran yang masuk hari kedua.

“Kebakaran menyebabkan pencemaran udara malah bau yang kurang menyenangkan turut menyebabkan orang awam yang berada di sekitar lokasi kurang selesa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 2:39 PM