Wong Seng Yee (dua dari kiri) dengan gaya seperti Phua Chu Kang menarik perhatian ramai. FOTO Aizuddin Saad
Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@nstp.com.my


PENAMPILAN petani dengan memakai but kuning ala Phua Chu Kang dan topi mengkuang menjadi pakaian seragam calon Bebas Wong Seng Yee, 40, untuk menemui pengundi sepanjang tempoh berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Horticultural dari University of Nebraska-Lincoln Amerika Syarikat, pemilik ladang yang juga pengeksport bunga ke Jepun dan Australia itu berkata, penampilan sedemikian memudahkannya mendekati pengundi.

“Saya rasa ini cara unik dan lebih mesra selain saya petani yang memiliki ladang bunga seluas kira-kira 10 ekar (empat hektar) di Bertam Valley.

“Sebagai penduduk tempatan, saya mahu memperkasakan sektor pertanian yang akan menjadi antara bahan kempen sehingga hari pengundian 26 Januari ini.

“Saya juga menitikberatkan pembangunan pertanian selain alam sekitar, pelancongan dan program menaiktaraf ekonomi masyarakat Orang Asli,” katanya ditemui di pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata hari ini.

Keempat-empat perkara itu katanya, akan menjadi fokus kempen yang dijenamakan sebagai Program Kelestarian Untuk Cameroon Highlands.

Mengulas lanjut, bapa kepada empat anak berusia lima dan 11 tahun itu berkata, usaha untuk meningkatkan ekonomi Orang Asli termasuklah memberi latihan berpusat untuk meningkatkan kemahiran komuniti perladangan.

“Ini sekali gus dapat menampung kekurangan tenaga kerja dalam sektor pertanian di daerah ini.

“Selain itu, saya juga akan cuba wujudkan satu platform jual beli dalam talian untuk memudahkan petani memasarkannya pada kualiti lebih baik.

“Usaha ini juga diharap dapat mengurangkan pembabitan orang tengah untuk menjual hasil tanaman,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands

  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 2:15 PM