GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman

ORANG ramai dipelawa untuk memberikan cadangan kepada Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara (JKD) bagi menambahbaik sistem pendidikan di negara ini.

JKD dalam satu kenyataan, hari ini berkata, cadangan berkenaan bukan saja dapat menambahbaik sistem pendidikan negara tetapi turut merangkumi kurikulum, aspek kesedaran sivik dan pembentukan nilai murni.

Menurut kenyataan itu semua cadangan dan idea boleh disalurkan menerusi pautan https://goo.gl/forms/fq0dj2BFqQPoGEZx1.

Borang khas bagi tujuan itu boleh diperoleh dengan menulis kepada JKD di alamat emel jkkdpn@gmail.com.

Selain itu, katanya, JKD yang dianggotai 13 ahli itu turut melalukan tinjauan umum bagi mengumpul maklumat dan cadangan yang dapat memberi perubahan kepada sistem pendidikan di Malaysia.

Sebelum ini, Jemaah Menteri pada mesyuarat yang diadakan pada 6 Jun lalu memutuskan Kementerian Pendidikan menubuhkan JKD untuk mengkaji semula dasar pendidikan negara.

Menterinya, Dr Maszlee Malik, berkata, JKD ditubuhkan sebagai badan bebas untuk mengkaji dasar pendidikan negara selain Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (pra sekolah hingga lepasan menengah) dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (pendidikan tinggi).

Jawatankuasa berkenaan bekerjasama dengan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) untuk mengkaji dasar pendidikan negara sebelum membuat syor kepada Kementerian Pendidikan pada 30 April tahun ini.

JKD dipengerusikan Timbalan Naib Canselor INTI-UC Laureate International Universities, Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Ahmad Bajunid.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 1:16 PM