KEADAAN penyu hijau yang dilepaskan ke laut, tetapi tetap timbul. -Foto ihsan Facebook Dr Sen Nathan
Avila Geraldine
avila@nstp.com.my

KOTA KINABALU: Seekor penyu hijau yang dikesan menghidap sindrom terapung selepas didapati tidak dapat menyelam diselamatkan di perairan berhampiran pantai Shangri-la Rasa Ria Resort di Tuaran, kelmarin.

Penyu berkenaan dikesan terapung di permukaan laut oleh pasukan luncur laut dari hotel berkenaan pada jam 11.55 pagi, Selasa lalu.

Penolong Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Dr Sen Nathan, berkata kumpulan berkenaan cuba menghalau penyu berkenaan ke tengah laut tetapi ia kembali semula ke kawasan berhampiran pantai.

“Jadi, mereka memutuskan untuk membawa penyu itu ke pantai dan memaklumkannya kepada Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU). Sejurus tiba, kita membantu penyu itu yang kelihatan dalam keadaan yang baik.

“Tiada sebarang kecederaan dikesan, kecuali parut lama selain tiada tanda ia berdepan dehidrasi. Penyu itu diletakkan semula dalam laut untuk melihat situasi terapungnya dan ia didapati terus terapung dan tidak dapat menyelam,” katanya.


BERKEMUNGKINAN pengumpulan gas dalam perut dan rongga badannya menyebabkan penyu gagal untuk menyelam. -Foto ihsan Facebook Dr Sen Nathan

Dr Sen yang mengetuai pasukan WRU, berkata pasukannya kemudian membawa penyu itu ke Pusat Penyelamat Marin YTL Pulau Gaya untuk rawatan lanjut.

Katanya, pemeriksaan dan rawatan yang dijalankan ke atas penyu berkenaan mengesahkan ia berdepan sindrom terapung.

“Ia bukan penyakit tetapi satu sindrom yang disebabkan faktor tertentu antaranya pengumpulan gas dalam perut dan rongga badan menyebabkannya tidak dapat menyelam,” katanya.

Beliau berkata, penyu itu kini dirawat untuk mengeluarkan lebihan gas dalam badannya dan ia dijangka mengambil masa beberapa minggu sebelum keadaannya pulih.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 11:53 AM