PETUGAS SPR membuat liputan secara langsung menerusi laman media sosial buat kali pertama pada Majlis Penamaan Pilihan Raya Kecil (PRK) P078 Parlimen Cameron Highlands di SMK Sultan Ahmad Shah. FOTO Aizuddin Saad
Wartawan NSTP

BUAT pertama kali Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan membuat lintas langsung menerusi FB Live disepanjang proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, hari ini.

Lintas langsung itu turut merangkumi perjalanan sepanjang sesi penyerahan borang pencalonan oleh calon yang bertanding, berlangsung di dalam Dewan Gemilang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad Shah.

Orang ramai boleh melihat perjalanan proses penamaan calon itu menerusi FB Live SPR.

Proses penamaan calon bagi PRK Parlimen Cameron Highlands bermula jam 9 pagi ini.

Proses penamaan calon berlangsung di Dewan Gemilang SMK Sultan Ahmad Shah, dengan tempoh masa satu jam diberikan SPR bagi semua calon mengemukakan Kertas Penamaan Calon masing-masing.

Kertas Penamaan Calon yang telah lengkap diisi dengan betul perlu dikemukakan kepada Pegawai Pengurus bersama pencadang atau penyokong sebelum jam 10 pagi.

PRK itu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan bekas penyandang, Datuk C Sivarraajh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

  • Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 11:33 AM