Motosikal dinaiki mangsa dilanggar lori semalam. FOTO Ihsan PDRM
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@nstp.com.my


POLIS mengesan pemandu lori yang terbabit kemalangan dengan sebuah motosikal menyebabkan wanita maut di Kilometer 231.6 Lebuhraya Utara Selatan hala utara berhampiran Pedas Linggi, semalam.

Dalam kejadian jam 1.10 tengah hari itu, mangsa Nurul Husna Che Azni, 23, yang membonceng motosikal maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam berkata, motosikal dibonceng mangsa bersama rakan lelakinya, Muhammad Ikmal Muhamad Azlan Shah, 22, dilanggar sebuah lori menyebabkan mereka terjatuh.

“Mereka dalam perjalanan dari Segamat menghala ke arah Seremban.

“Sebaik tiba di lokasi, motosikal itu yang melalui laluan kecemasan dikatakan dilanggar lori menyebabkan terbabas dan jatuh ke jalan.

“Nurul Husna kemudian digilis tayar lori berkenaan menyebabkan mangsa parah di kepala dan meninggal dunia serta-merta manakala Muhammad Ikmal cedera ringan,” katanya hari ini.

Anuar Bakri berkata, pemandu lori dipercayai terus beredar sejurus kejadian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau meminta pemandu lori terbabit atau saksi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau, Inspektor Shahrizan Khairi di talian 013-3375583.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 11:17 AM