Siti Azila Alias
sitiazila@bh.com.my


EMPAT perkhidmatan unit tren Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) tambahan akan disediakan sempena Tahun Baharu Cina bulan depan.

Keretapi Tanah Melayu (KTM) Berhad dalam satu kenyataan memaklumkan perkhidmatan tambahan itu membabitkan sektor KL Sentral- Ipoh- KL Sentral dan KL Sentral-Butterworth-KL Sentral.

Katanya, tiket tambahan itu akan dijual 14 Januari ini bermula jam 8.30 pagi.

“Tujuan inisiatif ini diambil untuk memenuhi permintaan penumpang.

“Di samping itu, ia bagi memberi khidmat pengangkutan kepada orang ramai yang akan meraikan perayaan ini dan bercuti bersama keluarga di kampung halaman,” katanya.

Katanya, tiket boleh dibeli secara atas talian melalui laman sesawang rasmi KTM Berhad, aplikasi telefon pintar KTM Mob Ticket dan di kaunter KTM Berhad.

“Maklumat lanjut dan jadual waktu perkhidmatan tambahan ETS boleh dirujuk dalam laman sesawang rasmi KTM Berhad di www.ktmb.com.my atau hubungi Pusat Panggilan KTM Berhad di talian 03-22671200.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 11:05 AM