Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


DUA lelaki ditahan kerana membuat laporan palsu kononnya disamun dua lelaki menaiki kereta sebelum melanggar belakang keretanya di tepi jalan Taman Kinrara, Serdang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, pihaknya menerima laporan itu daripada suspek berusia 30-an yang mendakwa dia disamun dua lelaki menaiki kereta Honda Accord dan mengambil wang tunai RM160,000 miliknya.

Menurutnya, suspek turut mendakwa mengeluarkan wang tunai itu daripada sebuah bank di cawangan Kinrara sebelum disamun.

“Siasatan terperinci berjaya menghidu tembelang suspek sebelum dia bersama rakannya ditahan semalam di rumahnya bersama wang tunai RM49,400.

“Wang itu adalah milik suspek dan rakannya. Suspek mengaku berpakat membuat laporan palsu yang mana wang terbabit kononnya hilang disamun bagi menipu pekerja mereka,” katanya.

Ismadi berkata, suspek dan rakannya juga mengaku penipuan itu dibuat disebabkan wang terbabit perlu digunakan untuk menyelesaikan pelbagai hutang peribadi kedua-duanya berjumlah RM100,000.

“Kedua-dua suspek kini direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 10:54 AM