FUZIAH (tengah) mendengar penerangan daripada petugas mengenai PRK Parlimen Cameron Highlands ketika membuat lawatan ke Pusat Gerakan Pakatan Harapan di FELDA Sungai Koyan 2, semalam.
Nik Sukry Ramli dan T.N. Alagesh dan Nazirul Roselan
cnews@nstp.com.my


LIPIS: Pakatan Harapan (PH) tidak akan memberi laluan mudah kepada Barisan Nasional (BN) untuk terus mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands yang dimenangi mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang, Fuziah Salleh berkata, calon Orang Asli dikemukakan BN untuk hadapi Pilihan Raya Kecil (PRK), 26 Januari ini tidak memberi kelebihan kepada parti itu.

Sebaliknya, beliau berkata, strategi berkenaan dilihat peluang untuk PH menarik sokongan etnik Orang Asli melalui isu dihadapi mereka yang gagal diselesaikan kerajaan terdahulu.

“Taktik mereka (BN) meletakkan calon daripada masyarakat Orang Asli bukan kelebihan kepada mereka...kita ingin bertanya kepada BN, apakah sumbangan calon berkenaan (ketika kerajaan Pusat dipimpin BN) kepada penduduk (Orang Asli) di Cameron Highlands?

“Apakah beliau ada membantu menyelesaikan isu tuntutan tanah adat yang diperjuangkan masyarakat Orang Asli sebelum ini? Adakah beliau ada membantu masyarakat Orang Asli meningkatkan taraf ekonomi dan kehidupan mereka selama ini?

“Kalau sekarang baharu nak mula (perjuangkan) dengan meletakkan calon daripada masyarakat Orang Asli, ini bukanlah satu tindakan bijak...kita (PH) sejak dulu lagi memperjuangkan nasib mereka (Orang Asli), ketika kita masih bukan kerajaan dan sampailah sekarang, apabila dipilih sebagai kerajaan Pusat, perjuangan kita (membela nasib Orang Asli) adalah konsisten dan bukan bermusim,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri berkata demikian selepas Lawatan ke Bilik Gerakan PH Sungai Koyan di sini, semalam.

Fuziah berkata, PRK kali ini bakal menyaksikan saingan sengit dan berharap 32,008 pengundi Parlimen Cameron Highlands dapat membuat pilihan terbaik menjelang pengundian pada 26 Januari ini.

  • Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 10:35 AM