Muhammad Yusri Muzamir
yusri.muzamir@bh.com.my


PENGANGGUR ditahan selepas terbabit dalam kejadian ugutan jenayah di sebuah pangsapuri di Bukit Gedung, Bayan Baru Georgetown semalam.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, lelaki berusia 30 tahun yang mengalami kecederaan di bahagian dagu dan bengkak di kaki serta tangan itu berjaya ditahan orang ramai.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, ketika kejadian suspek dalam keadaan mencurigakan dan meracau sambil memegang gunting.

“Suspek kemudian cuba ditenangkan kontraktor berusia 43 tahun.

“Bagaimanapun, usaha terbabit gagal dan suspek mengacukan gunting kepada lelaki berkenaan.

“Suspek juga melarikan diri ke hentian bas Persiaran Mayang Pasir di sini selepas kontraktor terbabit gagal merampas gunting daripadanya.

“Bagaimanapun, suspek berjaya diberkas dengan bantuan orang awam, sebelum laporan mengenai kejadian dibuat menerusi panggilan telefon ke Balai Polis Bayan Baru,” katanya hari ini.

Anbalagan berkata, semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah selain ujian saringan air kencing negatif.

“Suspek tiada rekod rawatan sakit mental dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 10:33 AM