KEADAAN motosikal yang ditunggangi mangsa. FOTO ihsan pembaca
Zuliaty Zulkiffli

PELAJAR maut selepas motosikal yang dinaiki bersama rakannya hilang kawalan sebelum melanggar bahagian sisi kiri treler di hadapan kilang beras di Batu 18 Jalan Padang Perahu, Jutra, semalam.

Dalam kejadian 3.15 petang itu, pelajar terbabit, Muhammad Afiq Redzuan Tajudin, 17, yang membonceng motosikal itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Rakannya yang menunggang motosikal itu, Muhammad Asyraf Affendi Muhamad Rosmani, 18, masih dirawat di Hospital Jitra (HJ).

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila kedua-dua kenderaan terbabit datang dari arah sama dan ketika itu treler terbabit dikatakan hendak memasuki ke dalam kilang beras itu.

Beliau berkata, treler itu dipercayai mengambil lajak ke sebelah kanan jalan sebelum membelok ke kiri untuk memasuki pintu kilang kerana ketika itu kereta yang tidak pasti memberhentikan kenderaan dan memberi laluan kepada treler itu untuk masuk ke dalam kilang.

"Bagaimanapun ketika itu motosikal yang dinaiki dua mangsa itu yang dari arah belakang cuba mengelak kereta yang memberi laluan itu menyebabkan motosikal itu hilang kawalan lalu melanggar pada bahagian sisi kiri kepala treler terbabit.

"Ketika itu, treler itu sudah berada di garisan pintu pagar kilang dan penunggang motosikal itu dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan manakala pemboncengnya meninggal di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi.

Mohd Ismail berkata, pemandu treler berusia 49 tahun itu kemudian diminta ke balai untuk siasatan lanjut manakala mayat mangsa kemudian dibawa Unit Forensik HJ untuk dibedah siasat.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, penunggang dan pembonceng motosikal terbabit menetap di Taman Seri Kenangan di Kuala Nerang manakala pemandu lori itu berasal dari Air Hitam.

"Kes disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 9:26 AM