MANGSA ditemui terapung pasukan penyelamat kira-kira 30 meter dari lokasi dia tergelincir. FOTO ihsan Bomba
Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my


MAYAT remaja yang tergelincir di Pantai Kemayang, Bachok semalam, ditemui 12 tengah malam tadi.

Mayat Muhammad Fakri Amin Mohd Asri, 13, ditemui terapung oleh pasukan penyelamat kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian.

Mayat diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu untuk bedah siasat.

Dalam kejadian 6.15 petang itu, mangsa, Muhammad Fakri Amin dilaporkan hilang selepas tergelincir ketika berjalan di atas batu pantai berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba, Yus Heary Mahmud berkata, usaha mencari dan menyelamat dilakukan sebaik menerima laporan di lokasi kejadian namun mangsa gagal ditemui sebelum operasi ditangguhkan pada 7.30 malam.

Katanya, bagaimanapun operasi bersambung semula pada 8 malam dengan pencarian di pesisir pantai dan muara.

"Usaha mencari dan menyelamat yang dilakukan membawa kepada penemuan mangsa pada jam 12 tengah malam kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian.

"Operasi ditamatkan sepenuhnya jam 12.30 tengah malam," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, mangsa dipercayai datang ke pantai bersama enam ahli keluarga lain 5.30 petang sebelum mangsa berjalan-jalan di atas batu bersendirian.

Katanya ketika berjalan di atas batu itu, mangsa tiba-tiba tergelincir dan jatuh.

"Kakak dan rakannya cuba menyelamatkan mangsa namun gagal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 8:46 AM