ANGGOTA bomba memberi bantuan kecemasan kepada Nur Aifaa yang hampir lemas manakala Mohamad Aisar Hisham ditemui lemas dalam kejadian di Air Terjun Belukar Bukit, Kuala Berang, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Rosli Ilham
cnews@nstp.com.my


HASRAT seorang abang menyelamatkan adiknya tidak kesampaian selepas dia lemas ketika mandi di kawasan perkelahan air terjun Belukar Bukit, Kuala Berang, hari ini.

Dalam kejadian 5.45 petang, mangsa, Mohamad Aisar Hisham Mohd Kamal, 22, yang berasal dari Bukit Saujana, Johor Baharu dikatakan cuba menyelamatkan adik perempuannya, Nur Aifaa Diyana, 21, daripada lemas.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang, Zuraidi Mohd Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 6 petang.

Menurutnya, seramai lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian dan segera menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

“Adik perempuan mangsa yang sedang berenang dikatakan lemas sebelum mangsa terjun untuk menyelamatkan adiknya itu.

“Mungkin disebabkan keletihan mangsa akhirnya lemas dan tenggelam ke dasar,” katanya.

Katanya, adik mangsa berjaya diselamatkan orang awam yang menyaksikan kejadian itu.

“Adik mangsa diselamatkan tetapi pengsan dan kami sedaya upaya membuat CPR untuk menyedarkan mangsa.

“Selama 20 minit pencarian, kami dengan dibantu penduduk kampung akhirnya berjaya menemui jenazah mangsa,” katanya.

Zuraidi berkata, mayat mangsa ditemui di dasar sungai kira-kira 20 meter dari tempat dia dilaporkan lemas.

Beliau berkata, mangsa adalah bekas pelajar Akademi Binaan Malaysia Johor Baharu dan jenazahnya diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Bilik Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut.

Katanya, adik mangsa turut menerima rawatan di hospital sama.

Difahamkan, 10 ahli keluarga termasuk mangsa dan adiknya dikatakan mengikut saudaranya bercuti di situ.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 10:49 PM