BOMBA menjalankan operasi SAR di lokasi kejadian. FOTO Ihsan Bomba.
Nor Amalina Alias
cnews@nstp.com.my


SEORANG remaja dikhuatiri lemas selepas tergelincir di Pantai Kemayang, Bachok, 6.15 petang, hari ini.

Muhammad Fakri Amin Mohd Asri, 13, hilang selepas terjatuh ketika berjalan atas batu di pantai berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba, Yus Heary Mahmud berkata, mangsa dipercayai ke pantai bersama enam ahli keluarga termasuk ibu, kakak, adik dan rakan kakaknya.

Katanya, mereka ke pantai pada jam 5.30 petang, sebelum mangsa berjalan sendirian di atas batu dan disedari kakak serta rakannya.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa digerakkan sejurus panggilan diterima dan ketika anggota tiba, rakan kakaknya dilihat keletihan selepas cuba menarik mangsa.

“Bagaimanapun, mangsa gagal diselamatkan dan hilang dibawa ombak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yus Heary berkata, mangsa dan keluarganya tidak bermandi-manda di pantai itu sebaliknya hanya beriadah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 10:21 PM