GAMBAR hiasan.
Aizat Sharif
cnews@nstp.com.my


BEKAS pengarah yayasan milik kerajaan negeri bergelar Datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis, hari ini.

Ia bagi membantu siasatan kes menerima suapan dan salah guna kuasa berhubung pembelian dua lot tanah bernilai lebih RM1.8 juta pada 2014 dan 2015.

Sumber SPRM berkata, lelaki berusia 61 tahun itu ditahan 3.13 petang selepas hadir di pejabat SPRM Perlis untuk memberi keterangan membabitkan kes berkenaan.

“Berdasarkan siasatan awal, kita mendapati suspek dipercayai menggunakan jawatan dan kedudukannya pada ketika itu dalam pembelian dua lot tanah di Mukim Kurong Anai, Perlis yang dianggarkan bernilai lebih RM1.8 juta.

“Pembelian berkenaan juga dilakukan tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah yayasan itu,” katanya kenyataan media di Kangar, hari ini.

Katanya, pihaknya akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret Kangar, esok.

“Selain itu, kita sedang mengesan beberapa lagi individu bagi membantu siasatan kes yang sama.

“Suspek disiasat mengikut Seksyen 17 dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009,” katanya

Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis, Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu, namun enggan mengulas lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 7:43 PM