Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


TIGA penjenayah dikenali ‘Geng Nomad’ yang dipercayai terbabit dalam 19 kes pecah rumah tumpas selepas diberkas polis dalam serbuan di Kulim, Kedah, malam semalam.

Kumpulan lelaki berusia antara 34 hingga 43 tahun itu dikesan aktif menyamun di sekitar Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kedah sejak tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, dalam kejadian jam 8.30 malam itu, dua daripada tiga suspek diberkas selepas kenderaan dinaiki mereka ditahan polis di Taman Angsana, Kulim.

Beliau berkata, penahanan mereka itu dibuat susulan satu kejadian pecah rumah di Taman Machang Bubok, 6 Januari lalu.

Dalam kejadian itu, lelaki berusia 60 tahun kerugian ribuan ringgit selepas rumahnya dipecah masuk tiga suspek berkenaan.

“Susulan laporan yang dibuat mangsa, polis menjalankan ‘Ops Pintu’ sebelum mengesan suspek di Kulim dan sepasukan pegawai serta anggota polis berjaya menahan mereka di dalam sebuah Toyota Hilux.

“Polis pada mulanya menahan dua suspek lelaki berusia 43 dan 34 tahun di dalam kereta pacuan empat roda di Taman Angsana sebelum membawa kepada penahanan seorang lagi rakan suspek berusia 34 tahun di Taman Anggerik, Kulim,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di Bukit Mertajam, hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, ketika pemeriksaan di dalam kenderaan dinaiki mereka, polis menemui barangan yang dipercayai dicuri dalam beberapa kejadian sebelum ini.

Katanya, pemeriksaan lanjut di rumah yang disewa suspek di Taman Anggerik menemui beberapa lagi barangan curi seperti botol arak, telefon bimbit, jam tangan, barang kemas serta barangan berharga.

Beliau berkata, semua barangan curi itu dianggarkan bernilai lebih RM100,000.

“Suspek menggunakan modus operandi mencuri hanya pada waktu siang dengan menekan loceng rumah mangsa.

“Jika rumah itu tidak berpenghuni mereka memecah masuk mengikut pintu depan premis.

“Selepas mencuri, mereka keluar melarikan diri menggunakan pintu belakang,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, berdasarkan pengakuan awal suspek, mereka mengaku terbabit dalam 19 kejadian pecah rumah di sekitar Pulau Pinang dan beberapa negeri lain sejak tahun lalu.

Katanya, semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk salah seorang ada 34 kes membabitkan jenayah dan dadah.

“Hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek juga positif dadah jenis methamphetamine.

“Mereka direman empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 7:00 PM
Nik Ros Azhan (tengah) bersama antara barangan yang dirampas daripada Geng Nomad. FOTO Danial Saad