Mariam menunjukkan kaki anaknya yang dilahirkan tanpa tulang paha. FOTO Nor Farhani Che Ad
Nor Farhani Che Ad
cnews@nstp.com.my


KEKURANGAN diri tidak membataskan aktiviti harian kanak-kanak berusia tujuh tahun dari Kampung Huma, Tanjung Dawai, Sungai Petani.

Biarpun terpaksa menggunakan kedua-dua tangan untuk menyokong kakinya ketika berjalan selepas dilahirkan tanpa tulang paha, Muhammad Faris Amsyar Saimie masih tetap ceria seperti kanak-kanak seusianya.

Muhammad Faris yang kini memasuki Tahun Satu begitu bersemangat memulakan sesi persekolahan minggu lalu di Sekolah Kebangsaan Tanjung Dawai.

Ibunya, Mariam Hamdan, 32, berkata, dia dan suami Saimie Salleh, 46, menghantar anak mereka itu ke Pra Sekolah tahun lalu dan mereka tidak berdepan dengan sebarang kesukaran.

Katanya, biarpun Muhammad Faris berstatus Orang Kurang Upaya (OKU), namun dia mempunyai tahap pemikiran seperti kanak-kanak lain dan menunjukkan minat serta kesungguhan untuk belajar.

“Tahun ini, Muhammad Faris tidak kekok untuk ke sekolah, walaupun keadaannya sebegitu, dia diterima baik dan disenangi rakan serta guru di sekolah.

“Saya terharu apabila setiap kali datang ke sekolah, anak akan dijemput dengan menaiki kerusi roda dan ditolak oleh rakan-rakannya masuk ke dalam bilik darjah.

“Di dalam kelas pula, guru menyediakan pelapik kayu untuk memudahkannya naik ke atas kerusi,” katanya ditemui di rumah mereka hari ini.

Dalam pada itu, Mariam berkata, kekurangan pada anak sulung daripada dua beradik itu sebenarnya dikesan sejak kandungannya berusia tujuh bulan.

“Waktu buat imbasan bayi, doktor mengesahkan anak saya mengalami kecacatan fizikal apabila kakinya kelihatan seperti bercantum dan lebih pendek daripada biasa.

“Awalnya saya dan suami agak sedih kerana memikirkan masa depan anak kami namun apabila kami muhasabah diri, kami sedar ada lagi lebih teruk daripada keadaan anak kami,” katanya.

Mariam berkata, awalnya anaknya itu mampu berdiri dan berjalan menggunakan dua kakinya saja namun apabila usianya semakin meningkat dengan pertambahan berat badan, kaki Muhammad Faris tidak mampu lagi menampung berat badannya sehingga terpaksa berjalan dengan bantuan tangan.

Katanya, anaknya itu perlu dibekalkan dengan dua pasang kasut setiap kali keluar rumah termasuk ketika ke sekolah.

Sementara itu, Muhammad Faris berkata, dia tidak pernah diejek rakan sama ada di rumah atau di sekolah sebaliknya dia mempunyai ramai rakan yang sudi berkawan dengannya.

“Setiap petang saya bermain bola dengan kawan-kawan, depa (mereka) tak pernah ejek saya, kami main seperti biasa,” katanya yang bercita-cita menjadi guru agama suatu hari nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 5:29 PM