MUHYIDDIN. FOTO Arkib NSTP
Suraya Roslan
suraya@hmetro.com.my


KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) menafikan dakwaan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh pihaknya gagal mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka semula siasatan kes kematian Teoh Beng Hock.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, dalam Mesyuarat Pasca Kabinet KDN pada 27 Jun tahun lalu memaklumkan kabinet memutuskan supaya kes kematian Teoh dibuka semula dan mengarahkan Ketua Polis Negara (KPN) mengambil tindakan segera berhubung keputusan itu.

“Susulan daripada arahan saya dan surat daripada Jabatan Peguam Negara bertarikh 17 Julai 2018, PDRM menubuhkan satu Pasukan Petugas Khas yang diketuai Datuk K Manoharan untuk menyiasat semula kes ini.

“Pasukan Petugas Khas ini menyiapkan kertas siasatan dan menyerahkannya kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan lanjut pada 18 Oktober 2018,” katanya dalam satu kenyataan, di Kuala Lumpur, hari ini.


LAPORAN Harian Metro sebelum ini.

Menurutnya, kenyataannya pihak polis sedang menunggu arahan daripada Peguam Negara seperti dilaporkan media pada 25 Oktober 2018 merujuk kepada arahan lanjut daripada Peguam Negara berhubung kertas siasatan yang diserahkan oleh Pasukan Petugas Khas.

“Peguam Negara memberikan arahan tertentu kepada Pasukan Petugas Khas pada 17 Disember 2018 dan siasatan masih diteruskan.

“Kenyataan Ramkarpal mengatakan saya gagal mengarahkan KPN supaya membuka semula siasatan kes kematian Teoh adalah cuai dan tidak benar sama sekali.

“Sebagai Ahli Parlimen kerajaan, beliau sepatutnya lebih cermat dalam membuat sebarang kenyataan terutama membabitkan anggota pentadbiran kerajaan. Saya berasa amat kesal dengan kenyataan berkenaan,” katanya.

Sebelum itu Ramkarpal yang juga Ketua Undang-Undang DAP menggesa Muhyiddin segera mengarahkan KPN membuka semula kertas siasatan berhubung kematian Beng Hock.

Gesaan itu dibuat berikutan terdapat arahan daripada Jabatan Peguam Negara supaya kes itu dibuka semula, selain Mahkamah Rayuan mendapati terdapat bukti perbuatan khianat dalam kes itu.

Ramkarpal turut menghantar surat bertarikh 26 Oktober 2018 kepada Muhyiddin bahawa Peguam Negara mengarahkan kes itu dibuka semula.

Teoh, 30, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, iaitu tempat terletaknya Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor pada pagi 16 Julai 2009.

Berita berkaitan

Polis diminta siasat semula kes Beng Hock

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 4:49 PM