NORDIYANA (kanan) bersama adiknya membaca berita atas talian mengenai isu pelantikan Agong. FOTO Farizul Hafiz Awang
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
cnews@nstp.com.my

Pekan: Desas-desus mengenai pelantikan Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai Sultan Pahang tidak lepas daripada menjadi bualan penduduk di daerah ini.

Pelbagai reaksi dizahirkan penduduk Bandar Diraja itu berhubung spekulasi mengatakan Tengku Abdullah boleh ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16, sekiranya ditabalkan terlebih dahulu sebagai Sultan Pahang jika ayahandanya Sultan Ahmad Shah turun takhta.

Peniaga kedai makan, Nordiyana Menimbang, 28, berkata, sebagai penduduk Pekan dan Pahang amnya, sudah tentu dia bangga sekiranya Sultan Pahang ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong.

“Sudah tentu bangga sebab Sultan kita jadi (Yang di-Pertuan) Agong, harap ada kelebihan untuk negeri kita nanti,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, semua itu sekadar khabar angin kerana tiada sebarang pengesahan atau kenyataan rasmi daripada Istana Pahang dan hanya menjadi spekulasi buat masa ini.

Sementara itu, seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 50-an, dari Kampung Ketapang berkata, dia yakin rakyat negeri ini gembira dengan berita itu, namun ia akan lebih bermakna jika ia sudah disahkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 10:51 AM