Suspek-suspek Geng Cicak yang berjaya ditahan.
Nurul Hidayah Bahaudin
cnews@nstp.com.my

]

KEGIATAN penjenayah yang meninggalkan najis selepas memecah masuk rumah mangsa di Bandar Tasik Puteri, Rawang, di Gombak terbongkar susulan penahanan tiga individu termasuk seorang wanita warga Indonesia yang terbabit dengan kes berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, ketiga-tiga suspek yang berusia antara 34 hingga 37 tahun itu ditahan di sekitar Rawang dan Selayang kira-kira jam 1 pagi hari ini. Berdasarkan maklumat diterima, kumpulan ini diketuai oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Cicak yang dibantu dua lagi suspek dengan mensasarkan kawasan perumahan di Bandar Tasik Puteri sebagai lokasi tumpuan melakukan jenayah pecah rumah.

"Hasil soal siasat dilakukan terhadap suspek mendapati mereka akan membuang najis di lokasi kejadian bagi menakut-nakutkan mangsa kononnya mereka disihir," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Samsor berkata, ketiga-tiga suspek yang juga penganggur mengaku akan menjual hasil kegiatan pecah rumah dilakukan dengan harga sekitar RM50 hingga RM100.

"Malah,suspek mengaku mereka menyewa sebuah teksi untuk bergerak mencari sasaran rumah untuk dipecah masuk. Sebaik mengenal pasti sasaran, mereka akan menggunakan pemutar skru bagi mengumpil tingkap untuk masuk ke dalam rumah.

"Kumpulan ini dipercayai aktif melakukan kegiatan itu sejak awal minggu lalu dengan menjalankan aktiviti berkenaan pada tengah malam hingga awal pagi," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai 12 rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dan jenayah, selain termasuk dalam senarai individu dikehendaki pihak polis.

"Ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati seorang daripada suspek positif dadah jenis syabu. Penahanan ketiga-tiga suspek ini dipercayai berjaya menyelesaikan tiga kes pecah rumah di Bandar Tasik Puteri yang dilaporkan awal minggu lalu.

"Kesemua suspek kini direman sehingga 16 Januari nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan pecah rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 9:22 PM