Junita Mat Rasid
junita@nstp.com.my

“KITA berbincang masalah dihadapi, bertukar pandangan, saya cerita pandangan rakyat terhadap tuanku dan baginda terima dengan baik,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai pertemuan tertutup dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Perdana Menteri berkata, selepas ini jika ada masalah beliau boleh berjumpa dengan Sultan Johor seperti yang dipersetujui mereka.

Mengenai isu yang dibangkitkan dalam pertemuan itu, beliau berkata, pelbagai masalah dibincangkan tetapi enggan mengulas lanjut.

“Macam-macam masalahlah. Saya tak payah cakap, itu antara dia dengan saya,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, selepas pertemuan itu, di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata, pertemuan itu tidak membincangkan mengenai soal pelantikan Yang di-Pertuan Agong.

“Yang itu soal raja-raja, tak ada kena mengena dengan saya,” katanya.

Beliau turut mengakui pertemuan itu adalah yang pertama selepas dia meletak jawatan sebagai Perdana Menteri kira-kira 20 tahun lalu.

Dr Mahahir juga mengakui pertemuan itu menjadi satu dimensi baru hubungannya dengan Sultan Johor yang sebelum ini dikatakan tegang.

” Ya, saya boleh communicate (berkomunikasi) dengan dia, kita bersetuju supaya kita berterus terang, bercakap secara terus terang, tak ada sembunyi sembunyi dan bagi dia punya pandangan, saya bagi saya punya pandangan,” katanya.

Dr Mahathir dan Sultan Johor mengadakan pertemuan selama 90 minit, di Istana Bukit Serene, dekat sini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 7:33 PM
Sultan Ibrahim bersalaman dengan Dr Mahathir selepas memandu Proton Saga edisi pertama. FOTO Mohd Azren Jamaludin