ADUN Teruntum, Sim Chon Siang (kanan) meninjau Pasar Besar Kuantan selepas menerima aduan mengenai tikus. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang
cnews@nstp.com.my


TANGKAPAN 400 tikus dua kali seminggu di Pasar Besar Kuantan, Kuantan mencetuskan keresahan di kalangan peniaga dan pelanggan di pasar yang sudah berusia 47 tahun itu.

Kewujudan haiwan perosak itu memberi ancaman terutama penyakit bawaan seperti kencing tikus atau leptospirosis jika tidak ditangani lebih serius oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang berkata, berdasarkan tinjauannya tikus itu aktif pada waktu petang dan malam.

Katanya, kewujudan tikus dalam jumlah banyak itu memberi gambaran ia boleh memberi ancaman dari segi penyakit bawaan daripada haiwan terbabit.

“Saya akui operasi menangkap tikus dilakukan PBT tetapi ia perlu dilaksanakan dengan lebih serius untuk memastikan haiwan perosak ini tidak lagi berada di pasar ini,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Datuk Hamiza Hamzah berkata, pihaknya mengadakan penangkapan tikus secara berkala setiap bulan.

Katanya, tangkapan itu dilakukan kerana PBT itu menerima aduan khususnya di kalangan peniaga yang bimbang dengan kewujudan haiwan perosak itu.

“Setakat ini, operasi menangkap tikus dilakukan kerana kita juga bimbang berlakunya penyakit bawaan daripada haiwan perosak ini.

“Setiap kali operasi, lebih 200 ekor tikus ditangkap dan operasi penangkapan perlu dilakukan untuk memastikan persekitaran Pasar Besar Kuantan bebas daripada ancaman haiwan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 2:57 PM