ANGGOTA bomba membantu mengeluarkan kereta mangsa yang tersangkut dalam lumpur dalam kebun kelapa sawit dekat Bandar Saujana Putra, Kuala Langat, semalam. FOTO Ihsan JBPM
Norzamira Che Noh
cnews@nstp.com.my


GARA-GARA mengunakan aplikasi navigasi, seorang wanita terperangkap dalam lumpur di sebuah ladang kelapa sawit dekat Bandar Saujana Putra, Kuala Langat, semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norizham Mohd Nudin berkata, dalam kejadian 8 pagi itu, bidan berusia 30-an itu dalam perjalanan ke rumah pelanggannya di kawasan berdekatan.

“Mangsa tinggal di Ulu Yam dan menggunakan aplikasi navigasi untuk ke rumah pelanggannya sebelum tersesat di dalam kawasan ladang kelapa sawit itu.

“Selepas memasuki satu laluan berlumpur, keretanya pula tersangkut dan beliau bertindak menghubungi pihak bomba,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, pihaknya menerima panggilan pada 8.36 pagi dan sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Panglima Garang bergegas ke lokasi kejadian.

“Mangsa ditemui dalam keadaan selamat dan dibawa keluar dari ladang kelapa sawit berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 11:29 AM