Ahmad Fairuz Othman
cnews@nstp.com.my

PERTEMUAN antara Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijadualkan berlangsung esok, susulan jemputan dari Istana Johor.

Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Endie Shazlie Akhbar berkata jemputan tertutup bersama Sultan Ibrahim itu telah ditunda sejak kira-kira dua minggu lalu.

Beliau berkata susulan penundaan itu, kedua-dua pihak tidak dapat menentukan tarikh mesyuarat sehingga Dr Mahathir memutuskan pertemuan itu diadakan esok.

Katanya, ia adalah pertemuan pertama antara Sultan Ibrahim dan Dr Mahathir selepas pertukaran kerajaan pada pilihan raya umum, 9 Mei lalu.

“Ia pertemuan empat mata antara Sultan Ibrahim dan Dr Mahathir. Tuanku telah mencadangkan pertemuan diadakan sejak dua minggu lalu.

“MB Johor (Menteri Besar, Datuk Osman Sapian) dijadualkan tidak menghadiri pertemuan tertutup itu, bagaimanapun, aspek protokol ketika lawatan Perdana Menteri akan diuruskan oleh Pejabat MB.

“Jadual lawatan Perdana Menteri di Johor hanya membabitkan pertemuan tertutup dengan Sultan,” katanya ketika dihubungi oleh NSTP hari ini.

Endie berkata tiada jadual rasmi ditetapkan sepanjang sesi pertemuan kepada Dr Mahathir di Istana Bukit Serene, yang dijangka bermula jam 3 petang.

Beliau juga menafikan bahawa pertemuan itu disebabkan pemilihan Yang di-Pertuan Agong baharu, oleh Majlis Raja-Raja, 24 Januari ini.

“Pertemuan itu sudah dirancang sebelum Sultan Muhammad V meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Berdasarkan senarai pusingan sembilan paling kanan dalam Majlis Raja-Raja, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah adalah ketua negeri yang seterusnya layak dipilih diikuti Sultan Ibrahim.

Ketika ini, kerusi Yang di-Pertuan Agong baharu tertumpu kepada Sultan Pahang dan Johor.

Semalam, New Straits Times melaporkan kerabat Diraja Pahang akan berbincang kemungkinan untuk menabalkan Tengku Abdullah sebagai Sultan Pahang.

Cadangan berkenaan sekiranya diterima, akan menyaksikan Tengku Abdullah, ditabalkan sebagai Sultan Pahang keenam, Jumaat ini sekali gus, melayakkan beliau dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, berdasarkan sistem pusingan kedua.

Difahamkan, Sultan Ahmad sudah dimaklumkan mengenai cadangan menabalkan Tengku Abdullah sebagai Sultan Pahang baharu.

Lagi berita berkaitan Agong letak jawatan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 10:43 PM