AHLI keluarga mangsa menunggu proses bedah siasat di Jabatan Forensik HKL. (Gambar kanan) Mangsa. FOTO Norizuan Shamsudin
Nor Azizah Mokhtar
cnews@nstp.com.my


BAYI lelaki berusia tujuh bulan meninggal dunia akibat pendarahan dalam kepala ketika dalam jagaan pengasuhnya di sebuah rumah di Kampung Setia Jaya, Setapak, Kuala Lumpur, semalam.

Kejadian disedari ibu mangsa jam 12.15 tengah hari ketika dia ke rumah pengasuh untuk melihat bayinya sebelum mendapati anaknya tidak sedarkan diri dan tubuh pucat selain bawah mata kanan anaknya lebam serta hidung berdarah.

Wanita itu kemudian menghubungi suaminya sebelum mengejarkan bayi mereka ke sebuah klinik swasta di Taman Melati, namun doktor kemudian mengarahkan bayi dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Bagaimanapun bayi berkenaan disahkan meninggal dunia selepas beberapa minit menerima rawatan di HKL.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Noor Azmi Yusoff berkata, bapa mangsa berusia 33 tahun mendakwa anaknya berada dalam keadaan sihat ketika dihantar ke rumah pengasuhnya pagi semalam.

“Bedah siasat oleh bahagian forensik HKL mendapati punca kematian bayi berkenaan adalah kecederaan dan pendarahan dalaman di bahagian kepala, mungkin akibat terjatuh.

“Buat masa ini tiada sebarang tangkapan dan siasatan berhubung punca sebenar kejadian ini sedang dilakukan. Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 9:55 PM