KENYATAAN Klinik Mediviron
Amir Abd Hamid
amir_hamid@mediaprima.com.my


DOKTOR di sebuah klinik swasta di Kajang meletak jawatan serta-merta susulan tular komennya di media sosial yang didakwa menghina Sultan Muhammad V.

Kumpulan Klinik Mediviron (Mediviron) dalam satu kenyataan berkata, doktor berkenaan mengambil tindakan itu dan bertanggungjawab sepenuhnya atas perbuatan itu.

“Pihak pengurusan amat berasa kecewa dengan komen dibuat doktor itu yang mungkin mengguris perasaan dan sensitiviti netizen. Komen yang dibuat secara peribadi itu tidak mencerminkan apa jua pendapat dan penilaian kakitangan serta pengurusan Kumpulan Klinik Mediviron.

“Nilai-nilai yang kami tanamkan selama 33 tahun dalam memberikan perkhidmatan terbaik oleh doktor dan jururawat kami meliputi pelbagai kaum masyarakat Malaysia.

“Doktor berkenaan juga sudah memohon maaf di akaun Facebook (FB) peribadinya,” katanya dalam kenyataan, di Kuala Lumpur.

Menurut kenyataan itu, sebagai rakyat Malaysia pihaknya sentiasa berlandaskan prinsip Rukun Negara.

Terdahulu, media melaporkan polis sudah menahan tiga individu yang memuat naik di media sosial komen berunsur hinaan terhadap Sultan Muhammad V berkaitan isu peletakan jawatan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong XV.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, mereka yang ditahan untuk siasatan itu terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 26 dan 46 tahun.

"Mereka yang ditahan ialah pemilik dua akaun twitter (@azhamaktar dan @aliaastaman) serta seorang pemilik akaun Facebook yang dikenali sebagai Eric Liew," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Fuzi berkata ketiga-tiga individu terbabit disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana menghasut.

Lagi berita berkaitan Agong letak jawatan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 5:01 PM