FOTO Hiasan
Irwan Shafrizan Ismail
irwansha@nstp.com.my


SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) mengingatkan calon atau parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) P078 Parlimen Cameron Highlands, 26 Januari ini supaya tidak melaksanakan aktiviti kempen yang boleh melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, aktiviti penjamuan, pemberian hadiah dan barangan, penggunaan kemudahan, aset dan program kerajaan serta aktiviti kempen yang berunsurkan perkauman serta menyentuh sensitiviti agama adalah dilarang.

Beliau berkata, SPR bersama-sama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bekerjasama erat memastikan tiada pihak melakukan sebarang tindakan yang melanggar undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya.

“SPR yakin bahawa PDRM mampu menangani sebarang kemungkinan serta menentukan keselamatan berada di tahap maksimum untuk membolehkan calon dan pengundi melaksanakan tanggungjawab demokrasi mereka.

“Kesemua parti adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara pejabat dan barung semasa hari mengundi.

“SPRM bersetuju untuk meletakkan pegawai dan anggota di ‘kawasan panas’ untuk membanteras kegiatan membeli undi. Sekiranya aktiviti kempen sedemikian berlaku dan disabitkan dengan kesalahan, tindakan tegas boleh diambil selaras dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya dalam satu kenyataan, di Putrajaya, hari ini.

Azhar berkata, SPR sudah mengadakan perbincangan bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan pengurusan tertinggi PDRM serta Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull di Bukit Aman, hari ini dalam usaha menangani isu yang berkaitan salah laku rasuah dan pelanggaran undang-undang berkaitan kempen pilihan raya.

Beliau berkata, dalam usaha untuk memastikan proses pilihan raya berjalan dengan aman dan harmoni, semua pihak termasuk pemimpin, penyokong parti politik dan calon yang bertanding diminta mematuhi semua undang-undang dan peraturan pilihan raya serta arahan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh SPR, PDRM, SPRM atau pihak berkuasa lain.

“Sekiranya mana-mana pihak mendapati semasa tempoh rasmi kempen, wujud pelanggaran undang-undang dan peraturan khususnya yang berkaitan dengan amalan rasuah di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya atau Akta SPRM, SPR menyarankan supaya laporan atau aduan dikemukakan kepada SPRM.

“SPR juga mengingatkan semua pihak bahawa pada hari mengundi semua bentuk kempen atau aktiviti merayu undi adalah dilarang.

“Tiada mana-mana pihak yang boleh merayu undi termasuklah melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain.

“SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya di PRK itu bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam,” katanya.

SPR sebelum ini menetapkan PRK P078 Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari, penamaan calon pula ditetapkan pada 12 Januari, manakala tarikh mengundi awal pada 22 Januari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 2:51 PM