Garret Dawum
garret@hmetro.com.my

Gombak: “Saya dan suami ikhtiar pelbagai cara untuk cari duit bagi menanggung perbelanjaan sekolah anak di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI),” kata suri rumah, Norlaila Wahab, 44.

Anak Norlaila iaitu Muhamad Najmiey Farhan Rizalman, 13, antara 78 pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dalam kalangan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) mendaftar di SBPI Gombak, semalam.

Katanya, mereka sanggup berkorban apa saja demi melihat Muhamad Najmiey Farhan belajar di SBPI, sekali gus cemerlang dalam akademik.

“Saya sangat berbangga selepas anak memperoleh 6A dalam UPSR lalu dan berjaya mendapatkan tempat di SBPI.

“Sebenarnya, saya tidak tahu cara untuk mendaftarkan anak ke SBPI sehinggalah dimaklumkan oleh seorang rakan,” katanya ketika ditemui selepas mendaftarkan anaknya.


IBU bapa menemani anak masing-masing ke asrama selepas mendaftarkan diri. FOTO BERNAMA

Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan (BPSBPSK), Aidie Jantan, diiringi Pengetua SBPI Gombak, Nor Hayati Yusoff, turut meluangkan untuk melihat proses pendaftaran pelajar baru berkenaan.

Menurut Norlaila, soal kewangan adalah perkara paling merisaukannya selepas Muhamad Najmiey Farhan menerima tawaran mengikuti pengajian di SBPI Gombak.

Menurutnya, pendapatan suaminya yang bekerja di sebuah kilang di Petaling Jaya, Selangor, cuma RM2,000 sebulan.

Dia memberitahu, selain Muhamad Najmiey Farhan mereka perlu memikirkan empat lagi anak yang masih bersekolah.

“Muhamad Najmiey Farhan adalah anak ketiga daripada lima beradik, kewangan keluarga kami terbatas kerana hanya mengharapkan pendapatan suami.

“Mujur ketika proses pendaftaran, kami hanya diminta membayar apa yang perlu saja. Saya berharap Muhamad Najmiey Farhan belajar bersungguh-sungguh di sekolah ini,” katanya.

Wanita ini memberitahu Muhamad Najmiey Farhan, turut menerima tawaran dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Gerik, Perak, namun terpaksa ditolak atas faktor lokasinya yang jauh.


IBU bapa sibuk mendaftar anak di SBPI Gombak, semalam. FOTO Rosdan Wahid

Sementara itu Aidie berkata, seramai 9,350 pelajar berjaya dalam permohonan mereka untuk mendapatkan tempat di SBP seluruh negara bagi sesi persekolahan 2019.

Beliau berkata, dari jumlah itu 52.28 peratus atau 4,888 calon adalah pelajar berpotensi golongan B40.

“Bilangan pelajar B40 menunjukkan peningkatan sebanyak 15.34 peratus berbanding pengambilan tahun lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 11:05 AM