ANGGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Bau memantau keadaan banjir yang melanda Kampung Jugan, Bau akibat hujan lebat, semalam. Foto Ihsan JBPM
Mohd Roji Kawi
mdroji@nstp.com.my


SERAMAI 25 penduduk membabitkan lima keluarga di Kampung Jugan di Jalan Bau-Lundu, Bau ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) apabila kediaman mereka dinaiki air, semalam.

Penduduk terbabit yang terdiri daripada 15 lelaki dan 10 wanita, termasuk seorang bayi kini berada di balai raya kampung berkenaan sejak jam 8.30 malam.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan kesemua mangsa banjir masih ditempatkan di PPS berkenaan sehingga pagi ini.

“Hujan lebat yang berlaku kira-kira jam 2 petang semalam menyebabkan enam rumah di Lorong 21, Kampung Jugan ditenggelami air hingga paras 0.5 meter.

“Air naik dengan cepat dan dikhuatiri mengancam keselamatan penduduk,” katanya.

Sementara itu, beberapa kawasan di Kuching turut berisiko dilanda banjir berikutan hujan yang berterusan sejak semalam.

Antara kawasan yang dipantau ialah Jalan Batu Lintang, Jalan Stapok, Jalan Sungai Maong, Taman Desa Wira, Kampung Sinar Budi Baru, Kampung Rantau Panjang, Kampung Sandong dan Pekan Batu Kawa.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan pagi hari ini memaklumkan hujan dijangka berterusan di beberapa kawasan di Kuching, Serian, Kota Samarahan, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Sarikei dan Miri.

Keadaan laut pula bergelora dengan ombak setinggi 1.5 hingga 2.5 meter dan angin timur laut bertiup antara 30 hingga 40 kilometer sejam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 8:42 AM