ANWAR. FOTO Fail NSTP
Idris Musa
idris@nstp.com.my


TIDAK seperti yang lain, pengunduran Sultan Muhammad V daripada takhta Yang di-Pertuan Agong lebih dirasai bagi Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau mempunyai sebab tersendiri kerana Sultan Muhammad V berkenan memberi pengampunan penuh kepadanya dan dibebaskan serta-merta, pada 16 Mei tahun lalu.

Pengampunan dan pembebasan seminggu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu dan menjelang Ramadan itu membolehkan beliau memainkan peranan lebih aktif dalam arena politik tanah air.

“Dan atas nama peribadi dan keluarga, kami menjunjung kasih Tuanku di atas perkenan Tuanku mempercepatkan proses pengampunan di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan sejurus selepas PRU-14 yang lalu,” katanya dalam kenyataan, di Kuala Lumpur, hari ini.

Sultan Muhammad V adalah Yang di-Pertuan Agong XV sejak 13 Dis 2016, meletak jawatan berkuat kuasa Ahad lalu, pertama berlaku dalam sejarah Malaysia yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

Anwar berkata, seluruh rakyat terutama warga PKR pastinya terkejut dan hiba atas pengunduran diri baginda daripada takhta Yang di-Pertuan Agong.

“Kami ingin melahirkan rasa syukur dan terima kasih yang tidak terhingga atas jasa dan khidmat Tuanku kepada rakyat dan negara Malaysia selama bertugas sebagai Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Katanya, Sultan Muhammad V sinonim dengan sikap tawaduk dan mesra malah memberi ruang luas kepada pertumbuhan sistem demokrasi di negara ini.

“Sesungguhnya Tuanku sinonim dengan sikap tawadu’ dan mesra, dan memberi ruang yang luas kepada pertumbuhan sistem demokrasi di Malaysia dengan memastikan berlakunya perubahan tampuk kuasa pertama kali dalam sejarah Malaysia secara aman, teratur dan damai,” katanya.

Beliau turut mendoakan agar baginda dikurniakan kesejahteraan dan seterusnya selamat bersemayam selaku Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan.

Lagi berita berkaitan Agong letak jawatan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 7:24 PM