GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Suhaila Shahrul Annuar dan Nor Ain Mohamed Radhi

KEMENTERIAN Kesihatan bercadang untuk memperluaskan kawasan larangan merokok di semua institusi pengajian tinggi di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, larangan itu dijangka dikuatkuasakan tahun ini susulan penguatkuasaan larangan merokok di tempat makan dan dalam bangunan di kawasan Parlimen.

"Kami (Kementerian Kesihatan) sudah melakukannya di Parlimen dan restoran, dan sekarang mungkin akan memperluaskannya ke semua universiti.

"Kami merancang untuk menguatkuasakannya di semua universiti termasuk awam dan swasta. Ia mungkin dalam tahun ini," katanya kepada media selepas majlis pelancaran Buku Fakta Industri Persatuan Farmaseutikal Malaysia (PhAMA) edisi 2018 di Putrajaya, hari ini.

Pada 15 Oktober tahun lalu, larangan merokok dikuat kuasakan dalam bangunan di kawasan Parlimen manakala pada 1 Januari lalu, larangan merokok di tempat makan dikuatkuasakan.

Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. Turut hadir Presiden PhAMA, Chin Keat Chyuan.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, kerjasama antara industri penjagaan kesihatan dan Kementerian Kesihatan adalah amat penting memandangkan populasi warga tua di Malaysia dijangka mencecah 3.4 juta menjelang 2020.

Sementara itu, Keat Chyuan berkata pertumbuhan industri farmaseutikal negara dijangka terus berkembang kepada lapan hingga 10 peratus setiap tahun dipengaruhi pelbagai faktor termasuk peningkatan populasi warga tua.

Katanya, faktor lain yang mempengaruhi pertumbuhan sektor itu termasuk peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD), peningkatan pendapatan dan taraf pendidikan penduduk.

"Ketika ini lebih 445 syarikat termasuk beberapa syarikat farmaseutikal terbesar dunia bertapak di Malaysia.

"Kesemua syarikat ini telah sama-sama menyumbang terhadap nilai pasaran industri farmaseutikal sebanyak RM7.5 bilion setakat suku ketiga tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 6:55 PM