RAKAMAN video polis trafik menendang seorang remaja yang tular di laman sosial.
Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my


POLIS sudah mengenal pasti dua konstabel dari bahagian trafik yang dipercayai menendang seorang remaja lelaki di Jalan Kampung Sireh, Kota Bharu, kelmarin.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, susulan itu pihaknya sudah membuka kertas siasatan dan membuat siasatan dalaman berhubung kejadian yang tular di laman sosial sejak semalam.

Katanya, dua anggota polis trafik Kota Bharu itu berusia lingkungan 20 tahun dan baru bertugas selama setahun.

“Kita melihat kejadian seperti ini tidak sepatutnya berlaku membabitkan anggota polis. Itu bukan kerja seorang anggota polis.

“Dalam kejadian itu, anggota polis trafik yang sedang membuat rondaan itu dikatakan dihimpit remaja lelaki itu yang enggan memberhentikan motosikalnya sehingga dia terjatuh dan mengalami kecederaan di lutut. Pemeriksaan lanjut, remaja berusia 17 tahun itu didapati melakukan kesalahan tidak memiliki lesen.

“Susulan itu kita membuka kertas siasatan dan menjalankan siasatan dalaman yang menjurus terhadap tindakan tatatertib,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Rakaman berdurasi 25 saat itu memaparkan seorang anggota trafik beruniform dilihat menendang beberapa kali remaja itu sambil memarahinya.

Ia mula tular di Facebook dan aplikasi WhatApp sejak semalam.

Mengulas lanjut, Hasanuddin berkata, sehingga kini pihaknya masih belum menerima laporan berhubung kejadian itu daripada remaja terbabit.

“Bagaimanapun, pegawai trafik Kota Bharu dan anggota yang terbabit sudah membuat laporan kerana turut mengalami kecederaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 5:44 PM