Ahmad Rabiul Zulkifli
cnews@nstp.com.my


MEWARISI kemahiran menangkap kerbau dan lembu liar secara turun temurun memberi pulangan lumayan kepada seorang pemuda yang menjalankan aktiviti itu sejak 19 tahun lalu.

Wan Mohd Yusof Wan Jafar, 35, berkata, dia menjelajah ke seluruh negara seperti Pahang, Perak, Negeri Sembilan dan Selangor untuk menangkap kerbau atau lembu liar menggunakan teknik denak dengan bayaran upah RM300 hingga RM500 seekor bergantung kepada tahap kesukaran.

Anak jati Kampung Gemuroh di Kuala Nerus itu berkata, dia mewarisi kemahiran itu daripada bapanya, Wan Jafar Wan Abu Bakar, 60, selain dibimbing abang angkatnya, Yusof Mohamad, 47, atau lebih terkenal dengan panggilan Lan Gemuroh sejak berusia belasan tahun.


Wan Mohd Yusof (kanan) bersama rakan pemburu dan lembu bali liar yang berjaya dijinakkan mereka. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli

“Bukan saya saja yang menjalankan kegiatan ini, malah dua abang iaitu Wan Zukifli, 40, dan Wan Mohd Alias, 36, juga pernah menjalankan kegiatan sama sebelum beralih kepada bidang pekerjaan yang lain sekarang.

“Sejak kecil saya melihat ayah dan dua abang menjalankan kerja itu, justeru saya meminati pekerjaan itu sudah lama sebelum diberi kepercayaan.

“Biarpun risiko pekerjaan itu sangat tinggi termasuk terdedah dengan ancaman disondol atau dikejar kerbau dan lembu liar, ia tidak menjadi penghalang untuk saya meneruskannya,” katanya.

Mohd Yusof berkata, pelbagai kejadian ngeri pernah dilalui sepanjang bergiat aktif dengan pekerjaan itu termasuk dikejar kerbau liar, selain tersesat lebih dua jam di dalam hutan ketika memburu kerbau liar.

“Segala ancaman dan risiko yang ditempuh itu dianggap sebagai asam garam sebagai penjinak haiwan ternakan liar dan ia perlu dihadapi dengan ketenangan serta keberanian.

“Bukan senang untuk menangkap seekor kerbau atau lembu liar di dalam hutan yang luas sekiranya tidak mempunyai pengalaman dan kemahiran. Justeru, tidak hairan kenapa pemilik ternakan sanggup membayar lebih sebagai upah menangkap ternakan mereka.

“Jika dibandingkan dengan risiko yang terpaksa ditanggung, bayaran yang dikenakan itu tidak setimpal, namun kerana minat dan perasaan ingin membantu penternak, ia tetap dijalankan biarpun nyawa yang menjadi taruhan,” katanya.

Dia berkata, dia menjalankan aktiviti itu bersama lima rakannya yang lain dan setiap orang mempunyai peranan masing-masing ketika memburu.

“Kerbau liar akan diburu di dalam hutan tebal sehingga berpuluh kilometer daripada jalan utama sebelum kumpulan itu ditemui.

“Seekor denak jantan akan diiring untuk menarik perhatian ternakan yang diburu itu. Jika kerbau, ia akan datang untuk bergaduh dengan denak dan ketika itu kami akan menangkapnya menggunakan teknik tertentu.


Wan Mohd Yusof menunggang denak kerbau jantan yang digunakan untuk memburu kerbau liar di hutan. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli

“Apabila lembu atau kerbau liar itu berjaya ditangkap, ia akan dijatuhkan terlebih dulu supaya tidak bergerak sebelum kedua mata dan telinganya ditutup dengan kain supaya haiwan itu tidak agresif dan senang untuk dibawa keluar daripada hutan,” katanya.

Menurutnya, dia akan terus menjalankan perkhidmatan itu sehingga ke akhir hayat selagi khidmatnya diperlukan berikutan perkhidmatan itu semakin berkurangan kerana tidak ramai yang berani menanggung risiko .

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 4:31 PM