GAMBAR hiasan
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
cnews@nstp.com.my


MAYAT lelaki ditemui orang awam dipercayai sudah meninggal dunia sejak tiga hari lalu, akibat serangan jantung di rumah di Kampung Stesen, di Arau, hari ini.

Mangsa, Abd Rahman Jusoh, 58, ditemui terbaring di bahagian ruang tamu rumah milik seorang peguam pada 7 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, mangsa diminta pemilik asal rumah itu untuk tinggal di situ bagi menjaga rumah terbabit.

"Dia tinggal seorang diri di rumah berkenaan dan menurut saksi, kali terakhir dia dilihat adalah pada 4 Januari lalu selepas mendapatkan rawatan sakit jantung di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar.

"Pemeriksaan awal di lokasi kejadian tidak menemui sebarang tanda pecah masuk dan unsur jenayah malah tiada tanda pergelutan ditemui pada tubuh mangsa," katanya.

Nanda berkata, mayat dibawa ke HTF untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 12:09 PM