ANGGOTA polis membuat siasatan penemuan mayat mangsa di Kampung Plaie, Kota Samarahan, semalam. FOTO Ihsan PDRM
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@nstp.com.my


LELAKI ditemui mati dipercayai tertembak diri sendiri dengan senapang patah di tepi jalan Kampung Plaie, Kota Samarahan, malam semalam.

Mangsa, Hereng Pili, 44, ditemui berlumuran darah jam 11.20 malam oleh orang awam yang kebetulan melalui jalan berkenaan sebelum melaporkan kepada pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Samarahan Deputi Superintendan Lee Chong Chern berkata, mangsa ditemui terbaring di sisi motosikalnya bersama selaras senapang patah.

Menurutnya, mangsa ditemui tidak sedarkan diri dengan kesan tembakan di kepala.

“Orang awam pada mulanya melihat lampu isyarat motosikal berkelip di tepi jalan berkenaan sebelum datang membuat pemeriksaan

“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dikatakan dalam perjalanan untuk keluar berburu, dan ada mengajak rakannya beberapa minit sebelum ditemui mati,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, mangsa dipercayai tertembak dari jarak dekat berdasarkan kesan kecederaan dan tompokan darah yang ditemui pada tubuhnya.

Katanya, polis turut menemui selaras senapang patah berisi sebutir peluru yang masih berada di dalam laras senapang.

“Pasukan perubatan yang dipanggil ke lokasi kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dan mayat dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat.

“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 10:35 AM